22 Februari 2009

MODEL KHATAM AL-QURAN KE SEKOLAH MENENGAH SATU PANDANGAN

Al-Quran adalah kalam Allah S.W.T barang sesiapa yang membacanya nescaya akan memperolehi ganjaran pahala. Apatah lagi bagi mereka yang menjadi murabbi atau tok guru Al Quran sudah pasti berlipat ganda pahalanya. Bukan semua ustaz dan ustazah boleh jadi tok guru Al Quran, kalau dahulunya (sebelum wujudnya program jQAF) di dalam kelas hanya ditekankan ayat-ayat kefahaman dan juga hafazan sahaja tetapi kini ustaz ustazah di kehendaki mengajar sampai khatam Al Quran, alangkah indahnya system pendidikan hari ini kerana ingin memartabatkan dan memperkasakan pendidikan Islam. Sekiranya kita masih diulik mimpi kerana sedapnya tidur dalam lena dan malas bangun untuk meletakkan kehebatan diri pada masyarakat umum sudah tentu semua orang akan menuding jari ke arah kita di atas semua kegagalan yang dirancang.
Usaha untuk meneruskan pendidikan Al Quran di sekolah menengah adalah satu usaha yang amat baik. Sedar atau tidak, kita hari ini hanya menekan kaedah menjawab soalan hanya menumpukan peperiksaan semata-mata. Suasana ini pernah saya lalui ketika saya berada dibangku sekolah suatu ketika dahulu sebagai seorang murid. Peperiksaan penting Al Quran lagi penting. Ibu bapa tidak merasa gusar sekiranya anaknya tidak mampu untuk membaca AlQuran. Akan tetapi sekiranya tidak memperolehi keputusan yang cemerlang didalam peperiksaan akan merasakan sebaliknya. Mungkin apabila kehadiran Khatam AlQuran ini akan mengganggu peperiksaan seperti PMR,SPM dan sebagainya. Adakah kita setuju dengan kenyataan ini?
Saya teringat persoalan dan kata-kata Ustaz Ismail B Noh pensyarah IPDA semasa saya menghadiri kursus LPBS jQAF pada tahun 2005. Dia mempersoalkan apakah yang kamu semua faham tentang Al Quran dan disiplin Al Quran, macam macam jawapan yang diberikan. Apabila beliau mengatakan hari ini orang sudah tidak memperdulikan Al Quran,tiba-tiba air matanya bergenang didalam kelopak matanya sunyi seketika dewan zaaba. Sambung beliau masyarakat sudah tidak displin dengan Al Quran, belajar Al Quran hanya pada umur 12 tahun kebawah sahaja apabila masuk ke sekolah menengah,university dan juga di alam pekerjaan AlQuran sudah tidak dipelajari lagi. Adakah kita displin dengan AlQuran. Beliau juga menceritakan bagaimana beliau menerima sanad AlQuran dengan sheikh Al Azhar dan Al Quran tersebut beliau tidak akan berikan kepada sesiapa hatta anaknya sendiri kecuali berguru dengannya. Terkedu saya mendengar kata-kata Us Ismail, reality ini lah yang berlaku pada kita semua agaknya. Sekali lagi saya tegaskan amat baik pendidikan Al Quran atau kita sebut khatam Al Quran di teruskan di sekolah menengah bagi memelihara disiplin Al Quran dan memastikan semua pelajar muslim celik AlQuran.
Disiplin Quran ini saya cuba nak aplikasikan di sekolah tetapi semua orang tidak setuju dengan alasan masa tidak mencukupi. Dalam mesyuarat saya cadangkan jadual waktu tidak di anjalkan atau tidak berkembar. Sekiranya 4 waktu untuk AlQuran tidak dianjalkan maka kita dapat berjumpa dengan murid tersebut selama 4 hari untuk Al Quran. Budak tidak akan lupa sebab kita bertemu mereka setiap hari kecuali 1 hari untuk jawi atau Ulum. Kita dulu pun belajar AlQuran di kampung seminggu 5 kali. Bacaan AlQuran yang telah ditetapkan oleh kementerian adalah bertepatan kerana dalam satu minggu keseluruhannya ada 4 muka surat dan 6 muka surat. Ini bermakna sekiranya masa tidak dianjalkan satu masa hanya satu atau dua muka surat tetapi kalu masa dianjalkan maka setiap pertemuan hendaklah baca 2 hingga 3 muka surat. Budak tidak mampu untuk ikut membaca 4 muka surat sekaligus. Pada saya masa tidak pernah cukup untuk kita. Jika kita melihat system yang ada di SRIDA setiap pagi mesti subjek Al Quran macam kita disekolah setiap pagi mesti pendidikan jasmani. Apakah menjadi kesalahan jika kita membaca Al Quran setiap hari di sekolah. Masalah sekarang nak letakan waktu penddikan Islam di awal waktu pun susah, yang paling sedih di letakan di waktu akhir pnp maka bergegas guru-guru jQAF untuk melaksanakan kelas Tasmek diluar jadual waktu. Manakala guru-guru lain bergegas menuju ke kenderaan masing-masing. Semua ini tidak menjadi masalah kerana ini adalah kewajipan dan perjanjian yang dibuat semasa memohon untukmenjadi seorang guru pendidikan Islam jQAF suatu ketika dahulu. Apa yang pasti kita bangga dengan murid kita apabila mereka dapat membaca AlQuran.
Adakah kita sedar setiap murid yang mampu membaca AlQuran hasil daripada penat jerih kita di sekolah ataupun kita hanya melukut ditepi gantang dengan kita hanya meneruskan hasil usaha orang lain. Sekiranya murid tersebut tidak mampu untuk membaca, perkataan ini selalu diungkapkan, “budak ni balik rumah tak mengaji Quran langsung.” Bagi saya semua ini tidak penting yang penting semua umat Islam mampu membaca dan Khatam AlQuran. Sikap membangga diri dan menuding jari kearah orang lain didalam menjayakan sesuatu program sudah lama ditelan zaman. sebaliknya kita perlu bangun mengatur strategi untuk melahirkan generasi AlQuran.
Sekiranya model khatam AlQuran hanya di sekolah rendah sahaja saya amat bimbang pelajar akan lupa AlQuran dan yang paling membimbangkan ialah pelajar sudah tidak tahu membaca AlQuran kerana mereka belajar AlQuran dengan menggunakan kaedah Iqra (baca terus) berbeza dengan kaedah Baghdadi perlu mengeja terlebih dahulu. Seandainya usaha ini di teruskan ke sekolah menengah maka kesinambungan dan disiplin AlQuran terus terpelihara. Begitu juga dengan pelajar yang masih tidak dapat membaca AlQuran mungkin mereka dapat dipulihkan pada peringkat sekolah menengah. Kita juga harus sedar bahawa tidak semua benda diatas dunia ini boleh dilaksanakan secara segera, perlu step by step dan jangan gelojoh tetapi perlu ada target. Adalah satu usaha yang sia-sia setelah diusahakan sekian lama di peringkat sekolah rendah dengan memerah keringat yang ada akhirnya terkubur begitu sahaja.
Sekolah menengah yang ada kelas aliran agama hanya mengambil pelajar yang cemerlang dan menguasai AlQuran bagaimana pula dengan pelajar yang kurang cemerlang dan tidak dapat menguasai AlQuran ? adakah dibiarkan begitu sahaja?. Maka sia-sia lah usaha kita selama ini. Perkara ini yang perlu difikirkan dan saya percaya semua orang memikirkannya apatah lagi dikalangan pegawai atasan.
Oleh itu pemikiran positif perlu terkehadapan memikirkan sesuatu kemungkinan yang akan berlaku mudah-mudahan tiada yang akan jadi mangsa dan pemangsa ,tiada yang teraniaya dan tiada yang menganiaya. Mudah-mudahan tiada kalam yang kurang sedap di dengar seperti model khatam AlQuran ini menyusahkan mereka yang berada di zon selesa. Semoga kita dapat memperkasakan pendidikan Islam dan memartabatkannya dimata dunia.